Selasa, 24 Ogos 2010

Benny Craig (Pemuzik & Pembunuh)

Cerita ini menceritakan tentang penaniayaan terhadap seorang pemuzik bebas yang sangat terkenal, Benny Craig kira-kira 3 dekad yang lalu di sebuah negara bernama Alerion. Benny dilahirkan pada 24 Mac 1934 tinggal bersama-sama keluarganya di sebuah kampung bernama Ax Valley. Sebelum menjadi pemuzik, beliau pernah bekerja sebagai penggali kubur selama 4 tahun sehingga beliau berusia 22 tahun. Beliau juga merupakan anak tunggal kepada pasangan Danny Craig dan Sarah Rose yang kedua-duanya sudah tidak bekerja kerana mengalami keuzuran. Kesungguhan Benny untuk menyara kedua-dua orang tuanya hanyalah bergantung pada pendapatan beliau yang tidak seberapa itu dengan melakukan kerja-kerja menggali kubur dan menguruskan setiap kematian penduduk kampungnya.

Pada suatu hari, seorang gadis telah mati tergantung di sebuah rumah. Gadis tersebut bernama, Helena yang juga merupakan bekas kekasih Benny pada suatu ketika dahulu. Kematian gadis itu telah mengemparkan seluruh penduduk kampung dan pelbagai spekulasi telah timbul. Ada yang membuat andaian sendiri dengan menyatakan bahawa gadis itu telah dibunuh dahulu sebelum digantung dan ada juga yang menuduh Benny sebagai punca gadis itu membunuh diri kerana kecewa apabila beliau memutuskan hubungan mereka dahulu. Benny agak terkilan dengan tuduhan palsu terhadapnya itu dan terus menjadi bingung. Beliau gagah untuk mempertahankan maruah dirinya dan keluarga dengan ini mengambil inisiatif sendiri untuk menyiasat kematian Helena tetapi seorang pemuda yang selalu bermusuh dengan Benny ketika dibangku sekolah dahulu bernama, Manson telah menyedari bahawa Benny menyiasat kematian Helena secara senyap. Akibat tidak suka akan perbuatan yang dilakukan oleh Benny itu lalu Manson menyebarkan khabar-khabar yang palsu bahawa Benny sebenarnya adalah pembunuh kepada kematian Helena itu. Penduduk kampung yang mempercayai khabar palsu itu terus mengambil tindakan yang tidak sepatutnya iaitu mengusir Benny keluar dari kampung itu. Benny cuba mempertahankan dirinya tetapi telah diugut penduduk kampung itu, jikalau dia tidak keluar dari kampung itu dengan kadar segera, keluarganya akan hidup sengsara.

Kehidupan Benny telah banyak berubah apabila hampir 15 tahun beliau meninggalkan kisah hitam yang sangat susah untuk beliau kenang. Benny yang dahulunya seorang pemuda kampung yang bekerja sebagai penggali kubur kini telah menjadi seorang pemuzik bebas di sebuah bandar bernama, Inamorta City yang terletak di utara negara itu. Benny telah menubuhkan sebuah kumpulan muzik bersama dengan 3 orang lagi rakannya, Brian Xera, Alex Xela dan Pitt Xeta yang diberi nama, Dexact. Kumpulan muzik ini memperjuangkan muzik berunsurkan deathcore dan black metal. Dexact merupakan antara kumpulan muzik yang terkenal pada waktu itu dan mempunyai banyak peminat yang terdiri dari kalangan remaja-remaja yang meminati lagu-lagu mereka. Ketaksuban Benny bukan saja terhadap muzik-muzik keras ini tetapi sedikit sebanyak ia telah memberi satu semangat untuknya kembali semula membalas dendam terhadap penduduk kampung yang dahulunya telah menganiayainya tanpa belas kasihan.

Hampir 20 tahun masa berlalu, semasa Benny sedang berehat di rumahnya, posmen datang ke rumahnya untuk menghantar telegram. Dalam kandungan telegram itu tertulis bahawa kedua-dua ibubapanya telah mati akibat rentung ketika rumah mereka terbakar kira-kira seminggu yang lalu. Perasaan sedih dan dendam mula timbul dalam hatinya kerana insan yang amat disayanginya telah pun tiada. Beliau nekad kembali ke kampungnya semula dengan hasrat dapat mencari siapa yang telah membuat angkara ini terhadap keluarganya. Antara orang pertama yang akan dicarinya ialah Manson kerana beliau adalah satu-satunya musuh yang selalu ingin menjatuhkannya. Sesudah tibanya di kampung, Benny terus mencari Manson di seluruh pelusuk dan telah menemui Manson di rumahnya. Benny dengan beraninya memecah masuk rumah agam milik Manson lalu memancung lehernya ketika Manson sedang duduk membaca surat khabar di ruang tamu sehingga kepalanya terpisah dari badan. Benny yang tidak menyangka akan perbuatan itu berasa kaku dan dengan pantasnya melarikan diri keluar dari rumah itu. Sebulan kemudian Benny telah ditangkap dan didakwa di mahkamah tertinggi dengan kesalahan membunuh secara peribadi dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup di Azran Wall Prison, Venna. Benny selalu berkata bahawa beliau tidak bersalah.



Cerita Asal: Didi A

Inspirasi: Charles Manson (The Sadistic Killers)